KOTA TINGGI – Seekor gajah betina berjaya dipindahkan ke habitat baru yang lebih selamat dalam satu operasi dilakukan semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, gajah liar itu dipindahkan dengan bantuan gajah denak Abot dan Rambai.
“Seekor gajah betina liar berjaya dipindahkan ke habitat baharu yang lebih selamat. Operasi ini melibatkan gajah denak Abot dan Rambai dan telah selesai pada 17 Mei (semalam).
“Usaha ini bukan sahaja melindungi komuniti setempat, malah memastikan kelangsungan spesies gajah kita terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah dalam kejadian di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 malam dimana pasangan berkenaan berusia 40 dan 38 tahun itu menaiki sebuah Perodua Alza sedang dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mersing.-KOSMO! ONLINE