AKTIVITI perkhemahan menjadi salah satu rutin yang dilakukan oleh Syed Sulaiman Syed Ismail sebagai ‘jalan pintas’ untuk merawat diri daripada stres.
Jejaka berusia 32 tahun yang mesra disapa sebagai Adib itu mengakui sudah terjebak dengan aktiviti perkhemahan sejak di bangku sekolah, selain dapat mencabar diri untuk bertahan hidup di dalam hutan belantara.
“Sejak sekolah saya memang suka berkhemah kerana telah didedahkan dengan aktiviti kokurikulum sebagai kadet bomba. Jadi, masa itu saya memang sudah aktif melibatkan diri dengan aktiviti perkhemahan.
“Apabila semakin dewasa, saya berasa aktiviti perkhemahan ini bukan saja dapat mendekatkan kita dengan alam semula jadi, tetapi turut menghiburkan diri daripada stres.
“Pada masa sama kita juga boleh menimba pengalaman baharu tentang bagaimana mahu hidup berdikari dengan cara mencabar diri untuk memasang khemah dan makan secara sederhana selain mewujudkan suasana seperti anggota tentera di dalam hutan,” katanya kepada CitaRasa.
Antara lokasi perkhemahan yang pernah dilakukan Adib adalah di Taman Negara di Pahang; Pantai Melawi di Kelantan; Sungai Congkak dan Pantai Cunang di Selangor dan lain-lain.
Kongsi Adib, dia gemar berkhemah berhampiran pantai disebabkan kawasan pantai memberikan pengalaman berbeza terutama apabila deruan ombak memecah pantai.
“Pernah sebelum ini saya memasang khemah depan Pantai Cunang dan khemah memang dipasang hanya beberapa meter dari ombak. Boleh dengar jelas bunyi ombak dalam khemah.
“Bunyi ombak itu memberikan ketenangan kepada saya dan membuatkan lupa segala masalah.
“Kemudian apabila malam dan air menjadi surut, saya tidak sangka persisiran pantai yang sebelum ini ombak sudah jadi daratan, manakala laut pula sudah terlalu jauh.
“Jadi saya guna kesempatan itu untuk berjalan-jalan dengan menggunakan lampu suluh. Pasirnya agak lembut dan itu menciptakan kenangan menarik serta sukar dilupakan,” katanya.
Bagi mendapatkan lokasi perkhemahan memuaskan, Adib menjadikan platform media sosial sebagai tempat mendapatkan maklumat diperlukan, di samping melakukan kajian terhadap lokasi sasaran.
“Melihat kandungan media sosial juga membantu saya untuk membuat keputusan untuk mengadakan perkhemahan di kawasan pantai, air terjun atau kawasan pergunungan,” katanya yang gemar melakukan aktiviti tersebut bersama teman-teman.
Biarpun kelengkapan perkhemahan sudah dimiliki, namun penelitian bajet tetap perlu dibuat agar tidak perlu mengeluarkan wang lebih. Tidak kurang itu, ciri keselamatan di tapak perkhemahan turut menjadi perkara yang diambil kira oleh Adib sebelum melaksanakan rutin kegemarannya itu.
Begitu juga dengan kebersihan selepas melakukan aktiviti perkhemahan kerana penting untuk membuang sampah terutama sisa makanan agar tidak menarik perhatian haiwan dan mencemarkan alam sekitar.
“Sebaiknya pilih kawasan perkhemahan yang sah berdaftar kerana kita tidak tahu tahap keselamatan sekitar kawasan itu.
“Kebersihan dan cara pembuangan sisa makanan penting untuk memelihara alam semula jadi.
“Selalunya saya akan pilih tapak perkhemahan yang mempunyai ramai orang kerana lebih meriah dan jika sebarang hal berlaku, boleh minta bantuan daripada mereka.
“Pastikan bateri telefon sentiasa mencukupi sebagai persediaan jika perlu membuat panggilan kecemasan. Sebaiknya maklumkan kepada orang terdekat sebelum kita melakukan aktiviti perkhemahan kerana selalunya kawasan perkhemahan akan jauh dari bandar,” katanya.
Sebagai seorang penggemar aktiviti perkhemahan, Adib mengimpikan melakukannya di tapak Kem Baha, Dabong, Kelantan.
Katanya, keindahan panorama kawasan Gunung Baha, Gunung Ayam dan Gunung Stong bukan saja menawarkan udara nyaman, tetapi ditambah juga dengan keindahan Air Terjun Jelawang berketinggian kira-kira 303 meter dari aras laut.
“Walaupun atas gunung tidak boleh mendirikan khemah, tetapi kita boleh bangunkan khemah dekat Kem Baha dan seterusnya boleh membuat pendakian ke Gunung Stong.
“Awal pagi pula pemandangan awan seakan-akan berlapis di sana. Jika nak menikmati momen perkhemahan dan pemandangan awan karpet itu memang perlu bersusah payah kerana perlu melakukan pendakian,” katanya.














