KUALA LUMPUR – Taktik licik majikan menyediakan ruang khas sebagai tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, hasil risikan mendapati terdapat majikan memberi ruang khas untuk PATI bersembunyi bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
“Ketika serbuan, terdapat cubaan melarikan diri serta provokasi oleh beberapa warga asing. Ada antara mereka dikesan bersembunyi di bilik persalinan, bawah tangga, tandas dan stor dipercayai disediakan oleh majikan sebagai lokasi persembunyian.
“Malah, terdapat individu yang enggan membuka pintu kerana menyembunyikan warga asing dan dokumen penting untuk melambatkan proses pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi dijalankan.
Serbuan Ops Kutip yang berlangsung dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang itu melibatkan seramai 106 pegawai imigresen.
Jafri berkata, seramai 143 warga asing berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan susulan pemeriksaan ke atas 964 individu.
“Mereka terdiri daripada 110 lelaki dan 33 wanita warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Syria, China dan Afghanistan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, melanggar syarat pas dan penggunaan dokumen tidak sah,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, Jafri berkata, lebih 5,000 operasi telah dilaksanakan JIM dengan jumlah tangkapan PATI mencecah 34,615 orang setakat 15 Mei.
“Tahun ini merupakan tahun penguatkuasaan, dan operasi seperti ini akan terus dilaksanakan secara agresif di seluruh negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE