LIPIS – Pahang kini berada pada landasan kukuh untuk mencatatkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini sama seperti tahun sebelumnya, apabila berjaya mengumpul lebih RM400 juta setakat ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi kutipan hasil itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu sekaligus menggambarkan pengurusan kewangan negeri berada pada tahap cemerlang.
“Jika dibandingkan ‘apple to apple’ dengan tahun lalu, kita sekarang sudah mencatatkan surplus (lebihan).
“Ini dapat dicapai kerana kita berupaya menguruskan ketirisan dan kebocoran selain anak-anak syarikat kerajaan negeri berjaya mencipta keuntungan lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program FGV Seikhlas Hati: Majlis Sumbangan FGV bersama Menteri Besar Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Koyan, di sini malam tadi.
Dalam majlis berkenaan, FGV menyerahkan zakat wakalah perniagaan berjumlah RM80,000 kepada 200 penerima asnaf dan Masjid Sultan Ahmad Shah turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menegaskan kejayaan Pahang dalam aspek kutipan hasil tidak datang secara bersendirian, sebaliknya hasil usaha kolektif semua pihak termasuk kepimpinan, penjawat awam dan agensi kerajaan.
“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dicapai, ia bukan usaha saya seorang tetapi usaha semua pihak seperti satu pasukan dan kita bekerja juga dalam suasana kekeluargaan. Sebab itu kita boleh mencapai kejayaan demi kejayaan dan insya-Allah banyak lagi yang dapat kita lakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE