KUALA LUMPUR – Keghairahan pengunjung lelaki warga asing menikmati tarian tiang ala Bollywood di sebuah pusat hiburan di Jalan Dang Wangi, di sini, terbantut selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam tadi.
Ketika serbuan, penari wanita warga asing daripada Nepal dan Bangladesh dengan berpakaian sari serta perhiasan gelang tangan dan kaki sedang asyik menari bagi menghiburkan pelanggan.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, premis di tingkat atas rumah kedai itu turut menyediakan pertukaran matawang replika dalam dolar Amerika Syarikat untuk ditaburkan kepada penari sebagai penghargaan.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 10 individu ditahan termasuk pelanggan, penjaga premis serta pengatur penari dalam serbuan Op Gegar bermula pukul 12.45 malam itu.
Menurutnya, ia melibatkan lapan lelaki dan dua wanita warga Nepal, Bangladesh dan Pakistan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.
“Pusat hiburan ini dibuka eksklusif untuk pelanggan dari negara Asia Selatan berhibur.
“Sebuah kotak disediakan untuk pelanggan memasukkan wang kepada penari yang mereka gemari,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai dijalankan.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 25 warga asing turut ditahan dalam serbuan berasingan Op Selera di tiga restoran di sekitar ibu negara.
Katanya, mereka terdiri daripada 16 lelaki, tujuh wanita serta dua kanak-kanak berusia antara lima hingga 60 tahun yang merupakan warga India, Pakistan, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.
“Kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE