fbpx

‘Tolong sentiasa jaga kebersihan, hindari sikap kerakusan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Mahkota Ismail bertitah pada Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail meluahkan rasa kesal atas tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai negeri ini, baru-baru ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perbuatan itu hanya akan membebankan kerajaan negeri yang terpaksa membelanjakan wang rakyat untuk kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan itu, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya undang-undang lebih tegas dikenakan terhadap individu yang melakukan perbuatan tersebut.

“Saya kesal apabila mendengar dan melihat sendiri apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dalam sungai baru-baru ini. Sedangkan wang rakyat yang dibelanjakan untuk pembersihan sungai  itu sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan.

“Kes-kes seperti ini tidak seharusnya berlaku dan saya menitahkan supaya  Kerajaan Johor dan pihak berkuasa duduk berbincang bagi melaksanakan hukuman yang sangat tegas terhadap individu atau mereka yang masih lagi sewenang senangnya membuang sampah ke dalam sungai atau di mana-mana tempat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tunku Mahkota Ismail turut menitahkan pengusaha pelancongan negeri ini supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menghindari sikap rakus yang boleh menjejaskan ekosistem kawasan pelancongan negeri ini.

“Tolong sentiasa jaga kebersihan dan hindari sikap kerakusan yang boleh hingga boleh menganggu ekosistem sesuatu tempat pelancongan berkenaan. Setiap perancangan perlu bersistem dan mengambil kira daripada segala sudut supaya keindahan alam semulajadi dan nilainya terjamin serta terjaga,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI