PONTIAN – Seorang peniaga wanita mengalami kerugian RM8,000 ribu selepas terperdaya dengan hadiah kemenangan tiket nombor ramalan berjumlah RM200,000, disini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, peniaga wanita berusia 39 tahun mendakwa didatangi oleh seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di sebuah Pasaraya di Benut.
Katanya, kedua-dua mereka telah meminta bantuan mangsa untuk menebus hadiah kemenangan tiket toto milik suspek berjumlah RM200,000 itu.
“Percaya dengan kata-kata suspek, mangsa telah menyerahkan wang tunai dan barangan kemas kepada suspek di Pejabat Pos Benut,” katanya dalam kenyataan disini, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial pasangan ini dikatakan memukau orang awam di Maybank Rengit seterusnya orang Parit Tengah di sebuah pasar raya dekat Benut sebelum membawa mangsa ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Tambah Mohammad Shofee, suspek berjanji akan berjumpa semula dengan mangsa untuk mendapatkan wang kemenangan tersebut serta memulangkan wang dan barangan kemas mangsa.
“Setelah mendapat wang tunai dan barang kemas, kedua-dua suspek kemudiannya beredar menaiki kereta Proton Saga BLM berwarna kelabu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Mangsa yang menyedari telah tertipu oleh pasangan tersebut telah membuat laporan, semalam. Kes disiasat dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE