SEPERTI wanita lain, Intan (bukan nama sebenar) bersyukur kerana dapat mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang dicintainya.
Dia dan suaminya berkenalan ketika mereka sama-sama melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Selepas tamat pengajian dan masing-masing mendapat pekerjaan, kami mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan.
“Hasil perkahwinan, kami dikurniakan dua orang cahaya mata yang menjadi penyeri rumah tangga kami,” katanya yang kini berusia awal 30-an.
Intan memaklumkan, rumah tangganya mula diuji pada tahun keenam perkahwinan mereka.
Dia tidak menyangka bahawa suaminya ada menjalinkan hubungan dengan lelaki yang ‘menjelma’ menjadi wanita.
Sebelum ‘terkantoi’ memiliki hubungan tersebut, Intan ada perasan beberapa tabiat pelik pada suaminya.
Intan dapati fantasi seksual suaminya sudah berlainan berbanding sebelumnya.
“Suami saya mula menonton video porno, sebelum mengajak saya menonton sekali untuk menaikkan ghairah kami.
“Selepas itu, dia minta saya melayannya sepertimana aksi di dalam video yang kami tonton tadi.
“Saya menolak untuk berbuat demikian kerana aksi berkenaan agak keterlaluan,” terangnya.
Apa yang membuatkan Intan terkejut, suaminya ada meminta dia melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama Islam ketika mereka bersama.
Selepas peristiwa itu, dia dapati suaminya jarang memberi nafkah batin berbanding sebelum ini.
Ada ketikanya, Intan terpaksa menggoda suaminya terlebih dulu sebelum mereka boleh bersama.
Namun begitu, semua rahsia kecurangan terbongkar selepas Intan meminjam komputer riba suaminya untuk menyelesaikan kerja.
Dia tidak meminta kebenaran memandangkan suaminya ketika itu sedang tidur.
Setelah selesai tugasnya, Intan cuba membuka fail-fail yang ada di dalam komputer riba suaminya.
“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat ada gambar-gambar mesra suami dengan wanita lain di atas katil dalam fail tersebut.
“Apabila saya belek setiap gambar itu, baru saya perasan rupanya wanita tersebut adalah palsu atau lelaki ‘menjelma’ menjadi kaum Hawa.
“Dia ialah seorang mak nyah,” ungkap Intan.
Disebabkan terlalu marah, dia terus mengejutkan suaminya daripada tidur untuk meminta penjelasan mengenai gambar tersebut.
Suaminya tidak mampu berkata apa-apa dan lidah menjadi kelu selepas Intan menunjukkan gambar-gambar tersebut.
“Bukan itu sahaja, suami secara tiba-tiba menampar saya kerana marah tidak meminta kebenarannya dulu untuk menggunakan komputer ribanya.
“Saya terkejut kerana sebelum ini dia tidak pernah tampar saya sepanjang kami berkahwin,” terangnya.
Selepas itu, suaminya terpaksa mengakui bahawa dia ada menjalinkan hubungan dengan wanita jadian yang dikenali sebagai Sally.
“Suami saya beritahu Sally mampu memenuhi setiap keinginan seksualnya dan boleh memberi kepuasan kepadanya.
“Dia menyalahkan saya kerana tidak dapat memenuhi keinginan seksualnya sepertimana yang dilakukan oleh Sally,” ceritanya.
Intan kemudian meminta suaminya keluar dari rumah buat sementara waktu bagi membolehkan dirinya bertenang seketika.
Selepas sebulan peristiwa tersebut, Intan mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya kerana dia tidak boleh terima hakikat bahawa lelaki dicintainya memiliki hubungan songsang dengan wanita jadian.
Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.
Ujar Intan, dia tetap menjaga aib suaminya dengan memberitahu ahli keluarga bahawa mereka terpaksa berpisah kerana tidak sehaluan.















