PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 bermula 19 Mei ini sehingga 30 April 2026 khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PRM 2.0 merupakan program pengampunan pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sukarela di mana mereka dikecualikan daripada tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun.
“Kementerian menyeru semua pihak termasuk perwakilan asing, majikan dan komuniti warga asing untuk menyebar luas maklumat ini dan menggalakkan penyertaan awal bagi mengelak kesesakan menjelang tarikh akhir,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 Jabatan Imigresen (JIM) di Puspanitapuri hari ini.
Pada 15 Mac lalu, media melaporkan JIM dalam proses untuk melanjutkan Program Repatriasi Migran yang dijadualkan tamat pada 31 Mac 2025.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi program tersebut, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan ke atas PATI bagi kesalahan memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah dan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas, manakala RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Katanya, selain itu, pemohon turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran dan kanak-kanak warga asing berusia bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke negara ini tanpa pas yang sah dikecualikan kompaun, namun mereka perlu membayar pas khas yang sama.
Bagaimanapun, menurut beliau, PRM 2.0 tidak terbuka kepada golongan PATI yang telah mendaftar namun gagal untuk membuat perjalanan keluar menerusi program sebelum ini. – KOSMO! ONLINE