JAKARTA – Penduduk wilayah Jawa Barat mengundang perhatian orang ramai kerana melepaskan ikan di jalan yang berlubang kerana tidak tahan keadaan laluan tersebut, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Jalan Padabenghar-Pangleseran dalam kawasan pentadbiran Sukabumi, baru-baru ini.
Rakaman dimuat naik di laman Facebook oleh akaun @BadenBlueBeat menunjukkan seorang lelaki melepaskan berpuluh-puluh ekor ikan daripada bungkusan plastik ke dalam lopak air.
“Lebih baik membela ikan daripada tidak (jalan) diperbaiki,” kata seorang wanita dalam klip video tersebut.
Perbuatan itu dilakukan sebagai protes supaya pihak berkuasa segera menampal lubang dan membaiki jalan yang rosak.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kena tularkan dulu. Tidak tular, tiada tindakan,” kata seorang pengguna media sosial.- AGENSI