JEMPOL – Seorang pekerja ladang maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal yang dia tunggang terbabit nahas dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di jalan Felda Lui Selatan – Tembangau, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi itu, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang mangsa wanita berusia 23 tahun dan MPV jenis Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun.
Menurutnya, penunggang motosikal dalam perjalanan dari Kampung Sungai Sampo menghala ke Ladang Perlating Jernih di Jalan Felda Lui Selatan Tembangau.
“Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal tersebut dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, datang sebuah MPV dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terus melanggar penunggang tersebut.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Norhisham, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan.
Sehubungan itu, pihak polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali di talian 012-9434222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE