PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara memperbaharui slogan dan logo Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai simbol penjenamaan semula serta usaha memperkukuh identiti dan hala tuju peranannya dalam menyemai perpaduan nasional.
Logo baharu itu diperkenalkan bagi menggantikan rekaan lama yang digunakan sejak 2005, selaras dengan tema ‘Memperkasa Komuniti, Memperkukuh Perpaduan’ sekali gus menyuntik semangat baharu kepada lebih 8,529 KRT yang aktif di seluruh negara.
Kementerian Perpaduan dalam kenyataan berkata, perubahan ini bukan sekadar penampilan visual, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ia selaras dengan matlamat kementerian untuk membentuk masyarakat yang harmoni, inklusif dan progresif,” katanya hari ini.
Menurutnya, sejak penubuhan KRT, pelbagai kejayaan dicapai termasuk pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berjaya mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan.
“KRT turut aktif menganjurkan kelas tambahan percuma, program motivasi remaja serta pelbagai aktiviti kebajikan, pembangunan belia dan wanita,” katanya.
KRT ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai inisiatif pasca tragedi 13 Mei 1969 bagi menyatukan semula rakyat Malaysia selain menjadi platform komuniti bagi menyelesaikan isu setempat, merapatkan kejiranan dan mengukuh keharmonian sosial. – KOSMO! ONLINE