WASHINGTON – Seorang penghibur sarkas profesional yang pakar dalam penggantungan rambut memecahkan Guinness World Records, lapor portal berita United Press International (UPI) kelmarin.
Leila Noone, 39, membiarkan dirinya tergantung menggunakan rambut selama 25 minit dan 11.3 saat.
Semasa percubaan tersebut baru-baru ini, dia turut memusingkan badan dengan menggunakan peralatan yang dipasang dekat sebatang pokok.
Noone memecahkan rekod dunia itu di Taman Nasional dan Negeri Redwood, California.
Dia berlatih selama dua tahun untuk memecahkan rekod 23 minit dan 19 saat yang dicatatkan warga Australia, Suthakaran Sivagnanathurai pada 2011.
Matlamat Noone adalah membuktikan apa yang dia boleh lakukan dengan menggunakan kuasa minda. – AGENSI