PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mempunyai alasan tersendiri selepas tidak memenuhi ‘tuntutan peminat’ yang mahu melihat pemain Sri Pahang FC terpilih dalam skuad kebangsaan kali ini.
Ini disebabkan Cklamovski menyenaraikan beberapa nama yang kurang mendapat minit permainan bersama kelab pada panggilan kebangsaan kali ini, namun jurulatih dari Australia itu mempunyai asas kepada keputusannya.
“Nathaniel Shio (Hong) Wan telah berlatih beberapa minggu sebelum musim berakhir, dia kelihatan agak bersedia. Saya juga lihat sesi latihannya dan dia kelihatan cukup cergas, jadi kami bawa untuk berikan peluang kepadanya.
“Ini peluang untuk dia serlahkan permainan terbaik dan melangkah ke depan bersama pasukan kebangsaan. Junior (Eldstal) bekerja keras setiap hari dan saya lihat latihan di JDT dan kelab lain, intensiti dipamerkan cukup bagus mengikut apa yang saya mahukan.
“Saya menghormati mereka (pemain Sri Pahang) atas usaha sepanjang musim dan bagi saya, ini bagus untuk persaingan merebut tempat pada masa akan datang. Pemain tidak boleh putus asa, mungkin mereka boleh dipilih pada masa akan datang,” katanya.
Latihan pusat kali ini dipecahkan kepada tiga fasa di mana Cklamovski ingin memberikan tempoh rehat kepada pemain selepas mengharungi musim yang agak panjang.
Pada aksi final Piala Malaysia sebelum ini, nama tonggak tengah Pahang, Ibrahim Manusi dicanang-canang agar diberikan peluang menyarung jersi kebangsaan,namun senarai kali ini menyaksikan tiada seorang pun wakil daripada skuad Tok Gajah.
“Saya galakkan pemain untuk kekal positif, teruskan bekerja untuk jadi lebih baik supaya mereka boleh terpilih untuk panggilan kebangsaan selepas ini,” tambah Cklamovski.