TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa kembali ke lokap selepas gagal membayar wang jaminan berjumlah RM6,000 yang ditetapkan Mahkamah Majistret pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, akan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dipindahkan untuk reman penjara sekiranya jaminan tidak dijelaskan.
“Sehingga kini (petang) tertuduh belum membayar wang jaminan. Dia (tertuduh) ada beritahu bahawa majikannya akan membantu membayar (ikat jamin) tapi setakat ini (petang tadi) belum lagi.
“Jika esok dia masih gagal untuk jelaskan kita akan memindahkannya ke penjara sehingga sebutan semula kes itu pada 17 Jun ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intam, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua sembilan pertuduhan yang dihadapi lelaki itu.
Norhamizah turut membenarkan permohonan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai selain melapor diri di balai polis setiap minggu.
Mengikut pertuduhan, Rudi Zulkarnain yang masih bujang didakwa memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh.
Mangsa yang maut ialah S. Perumal, 44, Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46, Mohd. Pozli Jaudin, 41, Nurit Pandak, 34, Amiruddin Zabri, 38, Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, Muhamad Akmal Muhamad, 35, Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dalam daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000. – KOSMO! ONLINE