SEBERANG PERAI – Enam individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur yang bersubahat menipu dalam talian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Tertuduh, Cham Chew Lian, 22, remaja berusia 17 tahun, Leong Wei Yao, 28, Ang Meng Foo, 25, wanita Kemboja, Reasmeykakada, 22, dan lelaki China, Deng Fei, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Susulan pengakuan itu, lima daripada mereka masing-masing didenda RM8,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, tertuduh yang di bawah umur dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dan akan dituduh semula mengikut peruntukan undang-undang kanak-kanak.
Kesemua mereka didakwa melakukan pakat jenayah berhubung penipuan dalam talian di sebuah kondominium di Alma pada pukul 5 petang, 13 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Anas Hakimi dan Husna Ridzuan.
Semasa prosiding, Anis Suhada mencadangkan hukuman setimpal, namun peguam merayu denda minimum atas alasan ia kesalahan kali pertama selain kebanyakan tertuduh tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap.-KOSMO! ONLINE