PETALING JAYA – Polis percaya masih ramai ahli sindiket yang ‘bersekongkol’ dengan dua penjenayah yang ditembak mati di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, gerakan memburu mereka sedang giat dilaksanakan ketika ini.
Katanya, siasatan turut mendapati dua lelaki tempatan yang tersungkur itu dipercayai aktif menyamun sejak dua tahun lalu.
Kedua-dua lelaki berusia 29 dan 40 tahun itu yang terlibat dalam kumpulan kongsi gelap tersebut melakukan jenayah samun di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
“Mereka dipercayai terbabit kes samun kediaman, tempat pengumpulan barang syarikat penghantaran dan kedai serbaneka.
“Siasatan awal mendapati jumlah kerugian bagi kes samun yang dilakukan dua suspek tersebut adalah RM1 juta,”ujarnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, dua penjenayah yang dipercayai aktif menyamun tersungkur dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di tempat letak kenderaan di Nilai malam tadi.
Suspek berusia 40 tahun mempunyai 76 rekod jenayah dan dadah, rakannya mempunyai 11 rekod kesalahan lampau.
Dalam kejadian itu, polis menemui dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan revolver dipercayai digunakan suspek. – KOSMO! ONLINE