fbpx

Tarik lesen pemandu kenderaan berat sebabkan kematian – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya tindakan lebih tegas kepada pemandu kenderaan berat termasuk penarikan lesen memandu sekiranya didapati bersalah menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Titah baginda, tindakan itu wajar selain denda atau penjara kepada pemandu dan syarikat yang terlibat itu.

Sultan Sharafuddin kesal kerana telah berulang kali menyuarakan kebimbangan ini khususnya apabila menyentuh tentang hukuman terhadap pemandu kenderaan atau pun syarikat terlibat yang didapati cuai dan tidak menepati syarat keselamatan yang ditetapkan.

“Melihat kepada jumlah kes dan tragedi seumpamanya yang kian meningkat serta kadar kemalangan jalan raya yang semakin kerap berlaku, beta mahu tindakan segera yang lebih tegas diambil oleh pihak berkuasa.

“Beta mahu, sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik,” titah baginda menerusi laman Facebook Rasmi Selangor Royal Office, hari ini.

Justeru, Sultan Sharafuddin bertitah, supaya kerajaan mengambil perhatian serius dengan kejadian kemalangan jalan raya khususnya yang membabitkan kenderaan berat.

Baginda turut menggesa syarikat – syarikat yang mengendalikan perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat lain agar memastikan penilaian yang ketat dalam memilih pemandu dan kelindan yang bersih dan tidak bermasalah.

“Beta turut mengingatkan semua pihak terlibat agar tidak menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara-perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu.

“Beta berharap dan berdoa agar tidak akan lagi berlaku tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan-insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara,” titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berkenan menzahirkan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Teluk Intan, Perak kelmarin.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat.

Terdahulu, seramai sembilan anggota FRU terkorban selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini kira-kira pukul 8.45 pagi, kelmarin.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selepas 35 tahun insiden sama yang mengorbankan 11 anggota FRU dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada 28 Februari 1990.

Ketika itu, kesemua mangsa dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dalam perjalanan menjalani latihan di Kuala
Terengganu, Terengganu sebelum trak FRU dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI