PEKAN – “Mata kiri saya sudah buta, mata kanan pula semakin kabur, saya takut kehilangan pekerjaan dan tidak mampu lagi menyara keluarga.”
Itu rintihan Ishamrizull Ismail, 46, seorang pengawal keselamatan dari Kampung Serambi di sini yang menghidap penyakit diabetes kronik sejak lima tahun lalu.
Katanya, doktor turut mengesahkan buah pinggang kanannya mengalami kerosakan serius akibat komplikasi penyakit itu.
“Saya juga alami bengkak kedua-dua belah kaki. Sejak enam bulan lalu, penglihatan makin kabur, nak berjalan pun kadang-kadang hampir terjatuh.
“Saya pencari nafkah utama, isteri hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan, pendapatan kami cukup-cukup makan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, akibat masalah penglihatan, dia kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Sarwina Abdul Rahman, 43, untuk menghantar dan mengambilnya bekerja.
“Kadangkala isteri perlu berjaga malam tunggu saya habis kerja. Kami hanya ada sebuah kereta lama yang selalu rosak,” ujarnya.
Katanya, dia dinasihatkan menjalani pembedahan mata segera untuk menyelamatkan penglihatan, namun kos rawatan swasta mencecah RM6,000.
“Kalau hendak rawatan cepat, memang kena buat di hospital swasta. Saya buntu apabila memikirkan perkara ini.
“Lagipun saya perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dengan kos sekitar RM2,400 sebulan.
“Itu baru dialisis, belum lagi soal makan minum dan sewa rumah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 016-515 7303 atau menyumbang ke akaun Bank CIMB 7612594767 atas nama Ishamrizull Ismail.