MELAKA – Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul dua pemuda sehingga menyebabkan kecederaan, minggu lalu.
Tertuduh, Lai Jing Ho; Lim Koon Leng; Yee Pao Wei; Bong Jia Jun dan Kevin Fong Tze Weng masing-masing berusia antara 23 dan 42 tahun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama telah menyebabkan kecederaan terhadap Tan Wei Jie, 33, dengan menggunakan batang besi di sebuah kelab malam di Jalan Syed Abdul Aziz dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.15 pagi pada 7 Mei 2025.
Kesemua tertuduh turut didakwa dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Randy Tan Kuan Chye, 33, di lokasi pada waktu dan tarikh sama.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 seorang bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan kesemua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan ahli keluarganya.
Kent Tan Chow Teng sebagai peguam pemerhati dan peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham yang mewakili kesemua tertuduh merayu jaminan rendah diberikan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 seorang dengan dua penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE