MELAKA – Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai menyimpan barang kawalan gas petroleum cecair (LPG) dan diesel tanpa permit bernilai lebih RM48,000 dalam dua serbuan berasingan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, pemeriksaan mengejut itu dijalankan menerusi Ops Gasak 2025 dan Ops Tiris 2025 selepas pihaknya menerima aduan orang awam.
Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Klebang Besar pada Selasa lalu dan pemeriksaan menemui 17 tong LPG seberat 14 kilogram (kg) dengan nilai rampasan RM2,149.82.
“Hasil siasatan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan permit atau lesen menyimpan barang kawalan itu. Seorang lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua dilakukan semalam di Alor Gajah yang membawa kepada penemuan 13,040 liter minyak diesel dengan nilai rampasan dianggarkan RM46,048.
Tambahnya, pemilik premis tersebut juga gagal menunjukkan dokumen kebenaran berurusan dengan barang kawalan terbabit dan ditahan bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Mohd.Hazimin berkata, sejak 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini, KPDN Melaka telah menghasilkan sebanyak 157 kes melibatkan pelbagai akta dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM143,325.20.
“Sebanyak RM44,100 nilai kompaun telah dikeluarkan, manakala jumlah denda direkodkan ialah RM101,000. Enam kes tangkapan telah direkodkan membabitkan tujuh individu sepanjang tempoh tersebut,” katanya.- KOSMO! ONLINE