BANGKOK – Seorang wanita di Thailand mengundang perhatian orang ramai kerana mahu menjual organ untuk mengumpulkan wang demi menyara anak lelakinya, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Perkara itu tular selepas dia memuat naik gambar anaknya yang berumur setahun di laman Facebook dengan tujuan mencari keluarga angkat.
“Ada sesiapa berminat mengambil anak angkat? Saya tidak berdaya menjaganya. Dia tidak minum susu selama tiga hari. Saya menghidap pelbagai penyakit dan tidak tahu berapa lama dapat bersama anak saya,” demikian menurut keterangan di laman Facebook.
Selain mencari keluarga angkat, wanita itu nekad menjual organnya sebagai percubaan terakhir mendapatkan wang.
“Di mana saya boleh menjual organ? Saya perlukan wang untuk anak saya serta rumah untuk didiami bersamanya. Ada sesiapa mahu mengambilnya sebagai anak angkat? Dia hidup dalam keadaan teruk dan kelaparan. Tolong, saya mahu dia mempunyai kehidupan baik seperti kanak-kanak lain,” tambah catatan itu.
Siaran itu menjadi tular, manakala mangsa menerima lawatan dan diberikan bantuan oleh kakitangan perubatan dan pegawai kebajikan lain.
Ramai pengguna media sosial turut menghantar pelbagai sumbangan seperti makanan, barangan keperluan bayi dan wang tunai. – AGENSI