fbpx

CEO GISBH, isteri gagal rayuan cabar penahanan salah bawah SOSMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasiruddin ketika dibawa ke Mahkamah Selayang pada tahun lalu.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan habeas corpus (penahanan salah) yang difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan isteri, Azura Md Yusof bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak rayuan kedua-dua pemohon untuk mengetepikan keputusan Mahkaman Tinggi selain mendapati permohonan kedua-dua pemohon itu tidak mempunyai merit.

“Tiada merit dalam rayuan ini, rayuan (pemohon) ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Tengku Maimun.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Nasiruddin, 66, dan Azura, 58,memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Sebelum ini, pada 14 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menolak permohonan habeas corpus pasangan suami isteri tersebut.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika memutuskan demikian berpendapat semasa Notis Usul permohonan habeas corpus itu difailkan pada 24 Oktober tahun lalu, pemohon tidak berada dalam tahanan SOSMA.

Menurutnya, pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.

Untuk rekod, seramai lapan tertuduh wanita termasuk Azura yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bagaimanapun Nasiruddin serta 12 lagi pemohon dalam pertuduhan sama tidak dibenarkan diikat jamin

Pada Oktober tahun lalu, Nasiruddin dan Azura serta 19 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang namun tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan , mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI