KUALA LUMPUR – Pameran perdagangan automotif berprestij, Automechanika Kuala Lumpur 2025 (AMKL2025) membuka tirai hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan penyertaan 311 pempamer dari 21 negara.
Diadakan selama tiga hari sehingga 17 Mei, pameran tahun ini diperluaskan kepada enam dewan, mencerminkan permintaan yang semakin meningkat serta minat mendalam terhadap sektor automotif Malaysia, mengambil peluang daripada kepengerusian ASEAN 2025 untuk menonjolkan peranan negara sebagai peneraju pembangunan automotif serantau.
Ia mempamerkan pelbagai jenis kenderaan termasuk model pasaran domestik Jepun (JDM), kereta klasik dan kereta modifikasi audio. Gabungan elemen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan pengguna ini memberikan gambaran holistik terhadap industri yang semakin matang.
Antara jenama terkemuka yang mengambil bahagian termasuk Alienworld, Areon, Emerald, EV Connection, Kineta, Hans Tools, King Hup Motors, Rimbunan Kuasa, Launch, OBD, Schmaco, TecAlliance, Vanli, dan YonMing Group.
Salah satu tarikan utama ialah bengkel latihan praktikal dalam baik pulih kemalangan, merangkumi teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan tenaga baharu (NEV).
Bengkel berkenaan turut mengetengahkan aspek keselamatan kenderaan elektrik (EV), pembaikan voltan tinggi serta demonstrasi langsung mengecat kenderaan.

Selain itu, Persidangan Automotive Mobility Solutions menjadi platform utama bagi perbincangan mendalam mengenai peralihan tenaga, elektrifikasi dan pendigitalan, iaitu tiga tonggak utama masa depan mobiliti di ASEAN.
Menurut Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew, Automechanika Kuala Lumpur telah menjadi medan niaga utama dalam industri automotif tempatan selama lebih 20 tahun.
“Matlamat kami adalah untuk menyerlahkan kekuatan Malaysia dalam rantaian bekalan serta mewujudkan pintu masuk ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, autoFEST@KL, komponen lebih mesra pengguna, menarik perhatian pengunjung umum dengan kombinasi pameran kenderaan yang diubah suai, serta teknologi pasaran selepas jualan.
Pada masa sama, acara bersebelahan iaitu Intelligent Manufacturing Kuala Lumpur turut berlangsung sehingga 16 Mei 2025, memberi tumpuan kepada cabaran dan peluang dalam transformasi digital menerusi strategi perancangan, integrasi perisian dan penggunaan perkakasan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran awal dan acara-acara sampingan serentak, layari www.automechanika-kl.com. – KOSMO! ONLINE