fbpx

Ahli perniagaan didakwa tipu jual haiwan liar bernilai RM68,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang berkaitan pemindahan tiga ekor haiwan liar dilindungi bernilai RM68,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Chan Kong San, 64, yang juga Pengarah Sentoria Themeparks and Resorts Sdn. Bhd. membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, Chan didakwa memperdayakan Pengarah Perhilitan Negeri Pahang ketika itu, dengan menyembunyikan fakta bahawa dua ekor singa putih (Panthera leo krugeri) dan seekor kucing Eurasian Lynx (Lynx) yang sepatutnya dipindahkan secara serahan kepada Zoo Melaka, sebenarnya telah dijual oleh syarikatnya dengan bayaran sebanyak RM68,000.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Perhilitan Negeri Pahang di sini pada 11 Mac 2021.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan dengan niat untuk mengelirukan pihak berkuasa supaya permohonan pemindahan haiwan dilindungi itu tidak dihalang, sedangkan ianya bagi tujuan penjualan dan bukannya serahan seperti yang dinyatakan dalam permohonan bertulis.

Kong San didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari yang mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 serta penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur setiap bulan.

Peguambela, Datuk Bob S. Arumugam yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada antara RM10,000 hingga RM15,000 atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan perniagaannya kini merosot.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tertuduh juga dibenarkan membuat permohonan kepada mahkamah jika perlu menggunakan pasport.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Julai depan bagi serahan dokumen dan pengurusan kes.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI