HULU TERENGGANU – Seramai 11 individu maut akibat penyakit tibi di Terengganu sejak awal tahun ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kebanyakan kematian pesakit tibi itu disebabkan kelewatan mangsa mendapatkan rawatan awal.
“Kesemua 11 kematian akibat tibi dilaporkan di negeri ini sejak awal tahun ini melibatkan golongan dewasa. Keseluruhan kes tibi direkodkan di negeri ini sejak awal tahun ini sebanyak 210,” katanya di Dataran Kuala Berang, di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Tibi dan Malaria Sedunia peringkat Terengganu.
Kasemani berkata, sebanyak 632 kes tibi direkodkan di Terengganu melibatkan 26 kematian pada tahun lalu.
Beliau berkata, 11 peratus daripada kes tibi yang direkodkan dalam tempoh itu melibatkan kanak-kanak.
“Kita harap individu yang memiliki gejala awal tibi agar segera mendapatkan rawatan. Kelewatan mengesan penyakit berkenaan mampu beri kesan kepada rawatan kesembuhan pesakit,” katanya. – KOSMO! ONLINE