LIVERPOOL – Juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool sudah menemui pengganti kepada Trent Alexander-Arnold yang akan meninggalkan Anfield apabila kontraknya berakhir hujung bulan depan.
Difahamkan, The Reds telah mencapai kata sepakat berhubung terma peribadi dengan Jeremie Frimpong sebelum melengkapkan perpindahan pemain pertahanan menyerang Bayer Leverkusen itu selepas ini.
Frimpong dilihat sebagai calon sesuai untuk mengisi kekosongan Arnold yang dikatakan bakal menyertai Real Madrid secara percuma berdasarkan corak permainannya dalam sistem 3-4-3 diguna pakai di Leverkusen.
Buat masa ini, Conor Bradley merupakan pemain sedia ada untuk menggantikan Arnold tetapi Frimpong dilihat lebih versatil dan berpengalaman selepas membantu Leverkusen menjuarai Bundesliga musim lalu.
Berdasarkan laporan, Frimpong, 24, bakal menandatangi kontrak lima tahun sehingga 2030 sebaik Liverpool mengaktifkan klausa perpindahan kontraknya yang bernilai €40 juta (RM191.88 juta).
Urusan itu sebenarnya menguntungkan Liverpool kerana jumlah perlu dibayar lebih rendah berbanding nilai semasanya yang dianggarkan berharga €55 juta (RM263.83 juta) ketika ini.
Biarpun di posisi pertahanan tetapi tonggak Belanda itu telah menjaringkan 30 gol dan 44 bantuan jaringan dalam 190 penampilan bersama Leverkusen sejak berhijrah daripada Celtic pada Januari 2021.
Jika berjaya, Frimpong bakal menjadi antara pemain meninggalkan Leverkusen musim depan selepas Florian Wirtz dikaitkan dengan Manchester City dan Bayern Munich, Jonathan Tah serta Patrik Schick. – AGENSI