PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga Bangladesh mengaut keuntungan besar sehingga RM50,000 sejak enam bulan lalu dengan mencetak e-Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Aktiviti licik lelaki berusia 30 tahun itu berakhir apabila ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen (JIM) di Jalan Tun Tan Stew Sin, Kuala Lumpur pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketika serbuan dilakukan pada pukul 9.30 pagi itu, suspek sedang memproses e-PLKS palsu menggunakan sebuah komputer.
“Siasatan awal mendapati, suspek menawarkan e-PLKS dengan bayaran RM50 sekeping. Lelaki itu memproses dan mencetak sendiri dokumen selain memalsukan salinan dokumen pendaftaran dan yang berkaitan perniagaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan kedua di Jalan Masjid, Kuala Lumpur, JIM menahan tiga warga India berusia 39 hingga 64 tahun kerana memiliki sejumlah besar pasport asing tanpa kuasa yang sah.
Hasil serbuan itu, pihak berkuasa merampas 504 pasport asing pelbagai negara, empat buah komputer, empat buah mesin pencetak, 23 keping kad CIDB dan beberapa keping e-PLKS palsu, 40 keping i-Kad serta wang tunai RM94,332.
Kesemua warga asing itu ditahan untuk siasatan di bawah subseksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan subseksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Zakaria berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman terhadap tujuh warga tempatan di bawah Seksyen 40A Akta Imigresen 1959/63 untuk hadir ke Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE