PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Mersing bagi memandu uji bot selam baharu yang direka khas oleh Seri Paduka Baginda sendiri.
Reka bentuk dan spesifikasi bot selam itu adalah hasil ilham dan kepakaran pengalaman luas dalam ilmu kelautan serta latihan ketenteraan yang dilalui Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Mac lalu, Seri Paduka Baginda mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi dinamakan Ibrahim Class IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
“Bot berkenaan yang direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi mampu beroperasi dalam perairan tropika.
“Sultan Ibrahim turut mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Maritim Malaysia Pahang pada Mac lalu,” katanya.
Pada November 2020, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sebuah bot laju IMG berkelengkapan penuh kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2.
Bot laju IMG dengan enjin berkapasiti 900 kuasa kuda bagi penugasan PPM di kepulauan dan perairan Mersing.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan bot Rigid Inflatable Boat (RIB) Tornado kepada 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) pada 2021.
“Pengurniaan bot bernilai RM1.2 juta dengan enjin berkapasiti 600 kuasa kuda itu bertujuan untuk membantu 21 GGK dalam melaksanakan penugasan dan tanggungjawab mereka,” katanya.
Kurniaan Seri Paduka Baginda itu mencerminkan keprihatinan Sultan Ibrahim berhubung keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan pasukan berkuasa dalam mengekang ancaman di laut. – KOSMO! ONLINE