KOTA TINGGI – Sebuah Perodua Alza remuk dibahagian hadapan selepas merempuh seekor gajah dalam satu kemalangan di Jalan Mawai di sini, hari ini.
Difahamkan, kemalangan berlaku di laluan gelap yang tidak dilengkapi dengan kemudahan lampu jalan.
Kejadian itu juga bukanlah insiden pertama melibatkan kenderaan dan gajah di kawasan berkenaan yang menjadi laluan haiwan liar itu melintas.
Terdahulu, tular rakaman kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan haiwan dipercayai gajah liar di laluan terbabit dimana turut kedengaran bunyi suara gajah yang disyaki dilanggar.
Sementara itu, rakyat Malaysia masih tersentuh dengan insiden menyayat hati seekor ibu gajah yang dilihat setia menunggu anaknya yang mati dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi semalam.
Tragedi yang berlaku bertepatan dengan sambutan Hari Ibu itu menjadi simbol naluri kasih sayang seekor ibu yang melangkaui spesis, membuktikan bahawa cinta dan kesetiaan bukan hanya milik manusia.- KOSMO! ONLINE