ALOR SETAR – Seorang wanita kerugian RM925,850 selepas diperdaya seorang lelaki mengaku dari Yemen yang mengirimkan dua bentuk cincin dan berjanji mahu mengahwininya sejak tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, mangsa yang berusia 53 tahun dan merupakan bekas ahli perniagaan itu berkenalan dengan lelaki terbabit menerusi Facebook pada 26 Januari tahun lalu.
“Wanita itu kemudian berhubung dengan individu berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp. Sepanjang perkenalan, dia ada menerima dua bentuk cincin yang dikirim lelaki itu sebagai tanda ikatan untuk berkahwin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, seterusnya pada 5 Februari tahun yang sama, lelaki terbabit memaklumkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital dan meminta mangsa meminjamkan wang untuk membiayai kos rawatan.
“Individu itu berjanji akan membuat bayaran balik dan akan datang ke Malaysia untuk berkahwin dengannya.
“Atas dasar percaya dan cinta, mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM925,850 menerusi 166 kali transaksi ke dalam 15 akaun bank berbeza,” ujarnya.
Menurutnya, transaksi wang berlaku dari 5 Februari tahun lalu hingga 25 Mac tahun ini.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila mendapati lelaki itu tidak datang ke Malaysia selain akaun Facebooknya turut disekat oleh individu terbabit,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE