KUALA LUMPUR – Pemandu pacuan empat roda Nissan Navara dalam kejadian tular merempuh motosikal pasangan suami isteri di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta dipenjara 30 hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh K.Darmaraju, 32, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Mei lalu.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara 12 bulan lagi. Difahamkan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Darmaraju didapati memandu kenderaan jenis Nissan Navara dengan cara melulu.
Kesalahan itu dilakukan di lebuh raya menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Jalan Duta di sini pukul 2.30 petang pada 10 Mei lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) akta pengangkutan jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Hukuman seksyen itu memperuntukkan penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Plus berhampiran Plaza Tol Duta.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali.
Isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali. – KOSMO! ONLINE