KUALA KRAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan menggali dan menyedut pasir secara haram selepas menyerbu kawasan sungai di Kampung Pahi di sini kelmarin.
Serbuan kira-kira pukul 4.15 petang dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu turut menahan enam lelaki termasuk tiga warga Bangladesh.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pemeriksaan mendapati, keenam-enam suspek menjalankan kegiatan menyedut pasir sungai di kawasan tersebut.
Menurutnya, mereka juga gagal menunjukkan permit atau dokumen berkenaan kegiatan pemindahan pasir yang sah.
“Kesemua peralatan termasuk mesin jentera seperti rumah penyedut pasir, jengkaut, lori dan peralatan lain yang digunakan untuk memindahkan pasir turut dirampas.
“Kesemua rampasan kelengkapan dan pasir yang disedut itu dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, keenam-enam suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965. – KOSMO! ONLINE