ALOR SETAR – Sebuah bengkel jentera berat yang juga stor besi buruk di Mergong, di sini diserbu kerana disyaki menyimpan 2,500 liter diesel tanpa lesen pada semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan Ops Tiris kira-kira pukul 8.30 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an berada di premis tersebut dan mengaku sebagai pemilik tempat kejadian.
“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah diesel yang disimpan di dalam premis tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pasukan serbuan seterusnya bertindak menyita kesemua diesel di dalam 13 tong drum berkapasiti 200 liter setiap unit yang dianggarkan bernilai RM7,200.
“Kita turut menyita peralatan untuk memindahkan barang kawalan tersebut dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM7,790,” ujarnya.
Tambahnya, warga emas itu dilepaskan selepas selesai diambil rakaman percakapan dengan kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). – KOSMO! ONLINE