KEMAMAN – Kerajaan telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca panas dan ancaman jerebu berikutan ketibaan Monsun Barat Daya bermula kelmarin.
Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemantauan titik panas bukan sahaja akan dilakukan di seluruh negara malah melangkaui rantau Asia Tenggara.
“Sudah nampak cuaca panas apabila masuk peralihan (Monsun Barat Daya). Kita akan buat balik mesyuarat Jawatankuasa Induk Cuaca Panas dan Kering.
“Ia melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Peladangan dan Komoditi untuk menyelaras tindakan sekiranya cuaca panas ini berpanjangan dan berlakunya jerebu serius,” katanya ketika ditemui di Jakar di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas memantau Operasi Gerak Kenderaan Bermotor yang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip memberitahu Monsun Barat Daya bermula Sabtu lalu akan menyebabkan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan di negara ini.
Beliau dilapporkan berkata, ia disebabkan pengurangan pembentukan awan hujan berikutan kadar kelembapan udara yang rendah sepanjang tempoh tersebut.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, keadaan pada masa ini masih terkawal dengan hanya satu titik panas dikesan di Sarawak. – KOSMO! ONLINE