fbpx

Ibu bapa diseru pastikan anak daftar PLKN 3.0 – Adly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADLY beramah mesra bersama pesara tentera, Hamidun Kamis sempena Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Kampung Bapong di Lipis hari ini.

LIPIS – Ibu bapa dan ahli keluarga disaran memainkan peranan dalam memastikan anak-anak yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mendaftar sebelum tarikh akhir pada 16 Mei ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penglibatan keluarga amat penting dalam membantu kelancaran pelaksanaan siri kedua program tersebut yang mensasarkan penglibatan seramai 550 pelatih.

Katanya, proses pendaftaran itu merupakan satu langkah penting dalam membentuk sahsiah diri dan semangat patriotik dalam kalangan belia.

“Kita harap mereka yang sudah terpilih harus melaksanakan pendaftaran mengikut Akta PLKN itu sendiri.

“Ini kerana kita tahu bahawa ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memberikan lebih banyak latihan kepada generasi muda terutamanya bagi meningkatkan jati diri serta sebahagian daripada tanggungjawab mereka kepada negara juga,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kebajikan dan menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Kampung Bapong di sini hari ini.

Pada program selamat dua hari itu, Adly dijadualkan bertemu dengan 14 veteran ATM di Raub dan 16 veteran ATM di Kuala Lipis.

Beliau turut menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada tiga orang balu mewakili allahyarham suami masing-masing dan menyampaikan sumbangan peralatan perniagaan kepada usahawan veteran ATM.

Menurut Adly, sehingga 11 Mei lalu, seramai 344 pelatih telah mendaftar, iaitu 206 lelaki di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan dan 138 wanita di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI