SELEPAS mencipta rekod kebangsaan dalam acara snatch, jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan kini memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan terhadap kecederaan ringan dialaminya pada Kejohanan Angkat Berat Asia di Jinju, China kelmarin.
Atlet berusia 23 tahun itu mencuri tumpuan dalam kategori bawah 61 kilogram (kg) lelaki apabila melakukan angkatan 132kg bagi acara snatch.
Angkatan terbaik itu sekali gus memadam rekodnya sendiri, 130kg yang dicipta pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Namun, aksi terbaik itu tidak dapat diteruskan juara Sukan Komanwel 2022 untuk clean and jerk apabila gagal menyempurnakan sebarang angkatan pada percubaan 163kg.
Lebih membimbangkan, Aniq yang juga sandaran utama negara dalam Program Road To Gold (RTG) mengesahkan mengalami kecederaan ketika percubaan clean and jerk.
“Alhamdulillah, semalam saya dapat buat catatan peribadi terbaik dan juga rekod kebangsaan. Agak kecewa juga sebab terlepas pingat selepas saya tak dapat angkat semua angkatan clean and jerk.
“Mengenai kecederaan, saya tak pasti serius atau tidak dan saya harap hanya kecederaan ringan,” katanya.
Emas acara itu dimenangi atlet Korea Utara, Pak Myong Jin dengan catatan 306kg keseluruhan diikuti dua atlet tuan rumah, Wang Hao (305kg) dan Wang Min (294kg).
Aniq dijangka kembali bersaing dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India pada Ogos depan, namun perlu bergantung kepada tahap kecergasan dan pemulihannya.