KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw Vietnam memperagakan aksi meyakinkan dalam acara kuadran apabila mudah menewaskan Korea Selatan menerusi kemenangan straight set, 15-7, 15-9, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir Piala Asia Sepak Takraw 2025.
Vietnam yang turun dengan status sebagai naib juara Piala Dunia Sepak Takraw di Bihar, India pada Mac lalu turun dengan barisan terkuat mereka yang dibarisi Ngo Thanh Long, Nguyen Van Ly, Huynh Ngoc Sang dan Luong Cong Minh.
Servis agresif dan taktikal kemas dipamerkan skuad bimbingan Hoang Duc Luong nyata terlalu sukar dibendung oleh barisan pemain Korea Selatan yang diketuai Cheong Dong Ryung, Seon Woo Young Su, Lee Junuk dan Lee Min Ju.
Meskipun cuba bangkit memberi tentangan di set kedua, Korea Selatan gagal menyekat momentum Vietnam yang terus nelakukan libasan kencang untuk mengutip mata demi mata tanpa banyak kesilapan mudah.
Walaupun tewas, Korea Selatan tidak pulang awal malah tetap mara ke separuh akhir setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua, hasil kemenangan 2-0 ke atas Singapura sebelum ini.
Vietnam yang muncul juara kumpulan bakal berdepan Filipina dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung esok.
Sementara itu, Korea Selatan akan bertemu Malaysia, juara Kumpulan B, dalam satu lagi aksi separuh akhir yang dijadualkan bermula jam 12 tengah hari esok.
Kedua-dua perlawanan separuh akhir dijangka berlangsung sengit, dengan tiket ke pentas final menjadi rebutan antara empat pasukan terbaik kejohanan. -KOSMO! ONLINE