KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg) pada akhir bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kg.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah premis perniagaan di Pusat Niaga Paya Keladi di sini pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.
Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala Abdul Rahman tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai depan.
Kosmo! 2 Mei lalu melaporkan aktiviti pengedaran dadah yang disyaki berselindung di sebalik perniagaan kosmetik berjaya dilumpuh polis. – KOSMO! ONLINE