GERIK – Seekor gajah betina ‘mengamuk’ dan merosakkan sebuah lori muatan ayam selepas anaknya mati dirempuh kenderaan berat itu di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian sekitar pukul 2.50 pagi itu berlaku ketika kenderaan dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu telah terlanggar seekor anak gajah yang keluar secara tiba-tiba dari hutan sebelah kiri bahu jalan.
“Berdasarkan siasatan, lelaki itu memberitahu telah melihat seekor gajah dewasa berada di bahu jalan arah Jeli ke Gerik sambil memakan rumput. Selepas yakin keadaan selamat, pemandu lori itu meneruskan pemanduan sebelum seekor anak gajah meluru keluar dari hutan sebelah kiri jalan dan melintas.
“Oleh kerana jarak yang dekat, pemandu tidak dapat memberhentikan kenderaan lalu melanggar anak gajah itu hingga mati di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, akibat pelanggaran tersebut, gajah dewasa yang dipercayai ibu gajah yang mati itu mengamuk dan merosakkan bahagian hadapan lori, bagaimanapun pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak polis mendapatkan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengawal gajah dewasa itu menggunakan pelali sebelum keadaan kembali stabil,” katanya. – KOSMO! ONLINE