BANGKOK – Seorang kakitangan rumah pengebumian di wilayah Saraburi, Thailand menjadi perhatian pengguna media sosial kerana menjana pendapatan sebanyak 59,371 baht (RM7,700) hasil daripada mengumpul emas yang dikutip dari cebisan gigi mayat, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pemilik kedai emas bernama Namo di laman TikTok.
Menurut Namo, lelaki tidak dikenali itu membawa lebih 10 butir emas kecil ke kedainya untuk memeriksa ketulenan.
Pekerja tersebut memberitahu Namo bahawa setiap emas itu dikutip daripada cebisan mayat yang dibakar dan ia diperoleh dengan persetujuan serta pengetahuan keluarga si mati.
“Selepas proses pembakaran mayat, terdapat serpihan tulang dan kepingan emas yang ditinggalkan bersama-sama abu.
“Kebanyakan keluarga tidak mahu menyimpan emas itu lalu diberikan kepada saya,” kata lelaki tersebut.
Rakaman video yang dimuat naik memaparkan Namo memeriksa barangan kemas tersebut menggunakan alat khas.
“Selepas diperiksa, semua barang kemas itu disahkan sebagai emas tulen.
“Keseluruhan emas itu bernilai 59,371 baht (RM7,700) dan akhirnya dileburkan menjadi jongkong emas seberat 21.13 gram,” tambah Namo. – AGENSI