BEIJING – Seorang pemilik pasar raya di China mengundang perhatian ramai apabila mengagihkan keuntungan hampir 10 juta yuan (RM5.9 juta) daripada pelaburan emas kepada lebih 2,000 pekerjanya, lapor portal berita South China Morning Post.
Liu Mingjun bergelar usahawan pada 2021 selepas mengasaskan rangkaian Ronghe 1+1 Fresh Supermarket di wilayah Shanxi.
Perniagaan Mingjun mula berkembang apabila dia membuka 33 cawangan di wilayah sama dan meluaskan operasinya ke wilayah Henan dengan jumlah 2,040 pekerja.
Dalam satu temu bual dengan Jiupai News pada 26 April lalu, Mingjun memberitahu bahawa dia telah mengagihkan 9.13 juta yuan (RM5.4 juta) keuntungan daripada pelaburan emas selama setahun.
Pengagihan wang itu turut melibatkan tukang cuci dan tukang masak.
Pekerja yang berkhidmat melebihi dua tahun menerima sebanyak 10,000 yuan (RM5,900), manakala kakitangan yang kurang dari setahun menerima 1,000 yuan (RM590) serta dua hari cuti.
Menurut Mingjun, pemberian itu bukan bertujuan memberi motivasi kepada pekerja untuk bekerja lebih keras tetapi merealisasikan visi peribadi yang lama dipegang.
“Jika suatu hari saya kaya, saya akan berkongsi dengan semua orang. Ia datang dari hati dan bukan sekadar janji kosong,” tambahnya. – AGENSI