TERDAPAT harta warisan dan binaan yang nilainya di luar jangkauan fikiran kerana penggunaan bahan yang sukar didapati, termasuk bertatahkan batuan permata dan emas tulen.
Ia juga dibina dengan kelengkapan mewah yang sesuai dengan gaya hidup pemiliknya dan menaikkan lagi status sosial serta menjadi perhatian dunia.
Oleh itu, saban hari nilainya semakin meningkat apatah lagi menjadi lambang kekuasaan sesebuah kerajaan. Berikut CitaRasa kongsikan lima benda atau perkara yang paling mahal di dunia menurut laman Pulse dan portal lain.
1- Kapal layar History Supreme
MESKIPUN tidak termasuk dalam kategori kapal layar terbesar tetapi ia menjadi benda paling mahal di dunia kerana penggunaan bahan binaan yang sukar ditemui.
Kapal layar dibina dengan kos sebanyak AS$4.5 bilion (RM19 bilion) ini menggunakan bahan seperti batu meteorik di samping salutan 100,000kg emas serta platinum.
Ia turut dihiasi arca daripada tulang Tyrannosaurus Rex tulen dari Arizona. Jika diukur dari segi saiz, kapal layar milik Jeff Bezos, Koru lebih besar tetapi History Supreme menelan kos yang paling mahal.
2- Air Force One
AIR Force One ialah Boeing 747-8 yang diubah suai dan direka dengan kos sangat tinggi untuk memenuhi keperluan unik Presiden Amerika Syarikat (AS) dan kakitangannya.
Dengan nilai penuh dianggarkan AS$4.3 bilion (RM18.20 bilion), ia mempunyai suite, bilik persidangan, kemudahan perubatan, sistem komunikasi selamat dan dalaman yang disesuaikan.
Pesawat itu dikendalikan oleh Tentera Udara AS dan dikawal rapi pada standard keselamatan dan keselamatan tertinggi.
3- The Imperial State Crown
MAHKOTA Negara Diraja ialah item terkenal dalam koleksi Mahkota British yang bertatahkan hampir 3,000 batu permata termasuk Black Prince’s Ruby.
Ia dipakai oleh Raja Charles III untuk pertabalannya dan diletakkan di atas keranda Ratu Elizabeth II semasa pengebumiannya.
Mahkota itu juga dihiasi 2,868 berlian, 273 mutiara, 17 nilam, 11 zamrud dan lima delima yang tidak ternilai harga. Pakar menganggarkan mahkota itu bernilai £3 bilion (RM17 bilion) hingga £5 bilion (RM28 bilion).
4- Antilia
ANTILIA ialah sebuah bangunan pencakar langit setinggi 27 tingkat di Mumbai, India yang dimiliki oleh Mukesh Ambani iaitu orang terkaya India. Bangunanan itu juga menjadi kediaman Mukesh dan keluarganya.
Dibina pada 2006 hingga 2010, bangunan itu menelan kos sebanyak AS$2 bilion (RM8.46 bilion). Menurut Forbes India, ia adalah salah satu benda paling mahal di dunia.
Ia mempunyai tiga helipad, sembilan lif, teater rumah 50 tempat duduk dan banyak kemudahan mahal lain, menjadikannya sangat mewah dan mahal di dunia.
5- Villa Leopolda
RUMAH agam French Riviera di Perancis berkeluasan 7.3 hektar ini mempunyai sejarah yang kompleks. Ia telah berfungsi sebagai hospital semasa Perang Dunia II.
Villa Leopolda pada asalnya dibina untuk Raja Belgium Leopold II pada tahun 1902 dan merupakan harta persendirian kedua termahal di dunia. Ia dijual pada harga AS$506 juta (RM2.1 bilion).