KUALA LUMPUR – Seramai 344 wira muda telah melapor diri hari ini untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 yang berlangsung selama 45 hari, bermula 11 Mei hingga 24 Jun ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 206 pelatih lelaki ditempatkan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang manakala 138 pelatih wanita pula menjalani latihan di Kem Rejimen 515 (AW), Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata, latihan kali ini menampilkan penambahbaikan dengan pengasingan pelatih mengikut jantina di dua kem berbeza namun mengekalkan modul latihan yang sama.
“(PLKN 3.0 Siri Kedua) masih
mengekalkan modul latihan yang sama iaitu merangkumi 30 peratus elemen kenegaraan dan 70 peratus elemen asas ketenteraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, ujar Ya’cob JLKN masih membuka peluang kepada pelatih yang terpilih tetapi belum melapor diri untuk berbuat demikian selewat-lewatnya pada 16 Mei ini sebelum pukul 12 tengah hari.
Menurut beliau, pelatih yang gagal berbuat demikian boleh dirujuk ke Bahagian Undang-Undang selaras Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Sehubungan itu, JLKN mengesa mana-mana pelatih yang telah terpilih untuk terus
melapor diri di kem-kem berkenaan,” ujarnya.
Pelatih yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Pelatih, Bahagian Pengurusan Pelatih JLKN di talian 014-234 5989, 019-310 1090 atau 019-333 2467. – KOSMO! ONLINE