SUBANG JAYA – Seorang wanita warga asing maut dalam kejadian langgar lari membabitkan sebuah basikal dan kereta di Jalan Puchong Utama 1, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa warga Myanmar berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika kejadian wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Mangsa menolak basikal untuk menyeberang jalan sebelum dilanggar sebuah kereta. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke jalan sebelah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, mayat wanita asing itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE