PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan satu pemeriksaan ke atas premis milik seorang individu yang sedang disiasat berhubung kandungan dimuat naik di akaun Facebook miliknya, dipercayai mengandungi elemen jelik melampau berunsur agama, kaum dan Institusi Diraja (3R).
MCMC dalam kenyataan berkata, siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 AKM 1998.
“Hasil daripada pemeriksaan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita untuk tujuan siasatan lanjut. Selain itu, sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu pada 9 Mei 2025. Terdahulu, individu terbabit turut hadir ke Ibu Pejabat MCMC bagi memberikan
keterangan,” jelas kenyataan itu.
MCMC dalam kenyataannya menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada di bawah AKM 1998.
Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan secara telus dan menyeluruh. – KOSMO! ONLINE