PETALING JAYA – Tiada keperluan bagi ketiga-tiga anak Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penculikan ibu mereka di Malaysia.
Peguam Pamela, Datuk N. Sivananthan berkata, pihak polis boleh mendapatkan keterangan mereka melalui panggilan video atau hadir ke Singapura.
“Anak-anak Pamela mungkin tak akan datang ke Malaysia lebih-lebih lagi selepas mengetahui ibu mereka telah diculik. Mereka mesti bimbangkan soal keselamatan.
“Kalau polis nak ambil keterangan, mungkin mereka boleh ambil melalui panggilan video atau datang ke Singapura,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Difahamkan, ketiga-tiga anak Pamela berusia antara 18 hingga 20 tahun kini di bawah jagaan keluarga dan kenalan terdekat.
Sebelum ini, polis menyeru beberapa saksi termasuk anak kepada Pamela yang berada di Singapura agar tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memberikan keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 9 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan kini menjurus kepada penglibatan suami wanita itu termasuk beberapa individu lain sebagai suspek.
Setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami Pamela. – KOSMO! ONLINE