SUNGAI PETANI – Pihak polis masih meneruskan siasatan terhadap ibu-bapa seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan terapung di dalam kolam di sebuah inap desa di Sungai Layar Tengah dekat sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, apabila selesai siasatan termasuk menerima laporan perubatan mangsa pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan ke pihak pendakwa raya untuk mendapat nasihat lanjut.
“Kita masih dalam proses melengkapkan siasatan sekarang dan perlukan sedikit masa berikutan ibu-bapa kanak-kanak itu sedang menjaga anak mereka yang masih mendapat rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang.
“Mangsa yang berusia dua tahun itu masih dalam keadaan separa sedar tetapi keadaannya telah stabil,” katanya semasa dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE