NEW DELHI – India menuduh Pakistan menyerang tiga pangkalan tentera negara berkenaan dengan menggunakan dron dan peluru berpandu, dakwaan yang dinafikan oleh Islamabad, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Tentera India berkata, pihaknya menggagalkan percubaan Pakistan untuk menyerang pangkalannya di Jammu dan Udhampur dalam wilayah Kashmir yang ditadbir New Delhi serta Pathankot di negeri Punjab sebelah India.
Letupan dilaporkan petang semalam di bandar Jammu ketika wilayah itu terputus bekalan elektrik.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif memberitahu BBC bahawa negaranya bukan dalang serangan itu.
Semalam, India berkata, pihaknya menyerang sistem pertahanan udara Pakistan dan ‘meneutralkan’ percubaan Islamabad untuk menyerang sasaran tentera di India pada malam kelmarin.
Tentera India menyerang sembilan tapak infrastruktur pengganas kelmarin sebagai tindak balas terhadap serangan militan ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India bulan lepas.
Pakistan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan India bahawa Islamabad menyokong kumpulan pemisah yang membunuh 26 orang awam di bandar pergunungan, Pahalgam di Kashmir.
Ia adalah serangan paling berdarah ke atas orang awam di India selama bertahun-tahun, menyebabkan ketegangan antara kedua-dua negara melonjak.
Kebanyakan mangsa ialah pelancong India.
Kashmir ditadbir India menyaksikan pemberontakan selama berdekad-dekad menentang pemerintahan India dalam keganasan yang telah meragut ribuan nyawa. – AGENSI