PONTIAN – Penantian sepasang suami isteri selama 15 tahun untuk dijemput menjadi tetamu Allah bagi menunaikan ibadah haji berakhir selepas mereka bakal berangkat ke Tanah Suci pada 23 Mei ini.
Abd. Rased Madiron, 69, berkata, dia dan isteri Hasnah Siron, 63, menerima tawaran untuk mengerjakan haji pada Oktober tahun lalu daripada Tabung Haji (TH).
“Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah, kami sangkakan lambat lagi, sebab sebelum ini nama kami sudah ‘naik’ pada 2021 dan 2022, namun ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.
“Kami mendaftar haji pada 2009 dengan pendaftaran sebanyak RM1,500 sebelum TH meminta kami menyimpan untuk mencukupkan simpanan.
“Ketika dapat panggilan, tambang isteri sebanyak RM23,500 kategori M40, namun setelah membuat rayuan, TH telah memberikan diskaun sehingga perlu bayar RM15,000,” katanya ketika ditemui di Batu 30, Kampung Pengkalan Raja, Pekan Nanas di sini semalam.
Katanya, selepas bersara dengan Kontena Nasional di Pasir Gudang pada 2012, sebahagian ganjaran diterima disimpan di TH bagi mencukupkan simpanan.
Ujarnya, dia dan isteri berniat dalam tempoh beberapa tahun selepas bersara, tawaran ke Tanah Suci akan menyusul berdasarkan tempoh pendaftaran dibuat pada 2009.
“Dua tahun lalu, kami berdua telah mengerjakan umrah, tahun ini ditawarkan menunaikan haji. Allah memakbulkan doa kami,” katanya.
Hasnah berkata, dia dan suami berharap agar perjalanan pergi dan balik dipermudahkan oleh Allah serta mendapat haji yang mabrur.















